Archive › Tips Keibubapaan

Kecil Kerana Susu Ibu?

Pasti timbul kegusaran apabila kerap kali bayi ditegur bersaiz kecil berbanding teman seusianya. Sedangkan, doktor mengesahkan bayi anda sihat!

Usahlah anda khuatir jika bayi bersaiz kecil. Apa yang penting kesihatannya berada di tahap yang memuaskan. Buang tanggapan lapuk yang menggambarkan bayi gempal adalah bayi yang sihat. Ataupun tanggapan yang menyatakan bahawa bayi yang menyusu susu formula lebih gempal berbanding menyusu susu ibu.

Hal ini kerana tanggapan ini kurang tepat! Apatah lagi, bayi gempal sebenarnya cenderung untuk menghadapi masalah berat badan berlebihan apabila meningkat dewasa kelak. Panduan berikut mungkin boleh membantu anda mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang status saiz si manja.

1) Dapatkan laporan kesihatan
Sekiranya anda risau dengan tahap kesihatan bayi, biar mereka yang pakar melakukan tugasnya! Oleh yang demikian, doktor pakar kanak-kanak merupakan individu paling tepat untuk menilai keadaan kesihatan si manja. Pelbagai aspek akan diteliti. Ini termasuklah penyusuan susu ibu, pengambilan nutrisi dan tahap keaktifan serta perkembangan bayi.
Penambahan makanan tambahan (jika bayi berumur enam bulan ke atas) mungkin boleh menjadi langkah penyelesaian pantas bagi menambah berat badan bayi. Namun, sebaik-baiknya dapatkan maklumat tepat tentang keperluan nutrisi si kecil.

2) Rujuk kaunselor laktasi
Polisi Penyusuan Susu Ibu Dunia oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan: semua bayi perlu disusukan dengan susu ibu sahaja sehingga usianya 6 bulan dan penyusuan perlu diteruskan sehingga dia berumur 2 tahun. Hal ini kerana dalam 6 bulan pertama, kandungan nutrisi di dalam susu ibu merpersiapkan organ dalaman bayi untuk menerima makanan pejal apabila tiba masanya.

3) Lihat pada ketinggian
Bayi adalah individu yang berbeza antara satu sama lain. Tahap kesihatan seorang bayi tidak wajar dinilai melalui saiz badannya. Perlu anda ketahui bahawa bayi mengalami petambahan berat badan yang perlahan di tahun pertamanya kerana pada waktu ini dia begitu sibuk meneroka dunia baru mereka. Sebagai maklumat tambahan, pertambahan saiz bayi biasanya dilihat pada ketinggian mereka dan bukannya daripada berat badan.

4) Kemahiran memberi makan
Memberi anak makan adalah antara kemahiran yang perlu dipelajari oleh setiap ibu bapa. Menjadi kreatif dengan memujuk atau mencipta helah untuk si kecil pastinya mengujakan. Dalam pada itu, amalkan memberi snek berkhasiat kepada ‘askar kecil’ atau ‘puteri cilik’ anda setiap 4 jam. Jumlah makanan harian yang perlu diberi kepada si dia adalah 1/4 daripada apa yang orang dewasa makan.

Comments ( 0 )