Susu Ibu Penawar Jaundis

Tatkala bayi disahkan mengalami jaundis, ibu bapa lazimnya menyempitkan pandangan dengan beranggapan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan bayi. Keadaan tambah teruk apabila segelintir doktor yang mengendalikan kes jaundis tidak menjelaskan maklumat secara terperinci kepada ibu bapa terlibat. Jika inilah yang terjadi, maka seharusnya anda dan suami mendapatkan pelbagai fakta kukuh untuk menenangkan perasaan gundah gulana yang dialami.

Ketahuilah bahawa hampir semua bayi baru lahir pada masa kini akan mengalami jaundis! Dalam kebanyakan kes, jaundis dikalangan bayi baru lahir dianggap sebagai proses yang normal. Kebanyakan penyelidik melalui kajian masing-masing merumuskan ia merupakan pelindung bayi daripada kesan radikal bebas oksigen.

Jaundis yang kini kerap menyerang bayi baru lahir dikenali sebagai ‘physiological jaundice’. Ia bukannya penyakit! Malah, tiada apa-apa yang perlu dikhuatiri kerana ia sama sekali tidak akan meninggalkan kesan buruk selagi paras bilirubin tidka mencecah paras berbahaya.

Bayi pramatang atau kurang berat badan, amat mudah untuk mengalami jaundis. Malah, bayi yang tidak menyusu secukupnya terutama di awal kelahiran dan tidak membuang najis dengan kerap sangat mudah mengalami jaundis. Oleh kerana itulah, amat penting penyusuan susu ibu dimulakan awal dan dilakukan dengan kerap.

Bayi mungkin memerlukan rawatan segera tetapi susu ibu perlu diberi secara berterusan. Seelok-eloknya sejurus selepas dia lahir. Kolostrum dan susu ibu yang diterima bayi akan membantunya membuang air besar. Deengan yang demikian, ia mampu mempercepatkan proses penyingkiran biliburin dari sistem tubuh bayi.

Oleh kerana kita sedia maklum dengan pelbagai keistimewaan susu ibu, bayi tidak seharusnya dinafikan untuk menerima kebaikan susu ibu. Ketahuilah, bayi yang mengalami masalah kesihatan perlu diberi lebih banyak susu ibu berbanding bayi yang sihat.

Sebelum bayi dilahirkan, dia memerlukan banyak sel darah merah untuk memperoleh oksigen daripada darah anda. Sejurus lahir, dia tidak lagi memerlukannya kerana memperoleh oksigen melalui udara. Seharusnya, sel-sel darah merah yang mengandungi hemoglobin itu perlu disingkirkan segera daripada tubuhnya selepas lahir. Jika tidak, ia boleh diserap semula ke dalam sistem tubuh bayi.

Biliburin pula merupakan sisa sel darah yang perlu dikeluarkan daripada aliran darah oleh hati dan dibuang melalui mekonium dan najis bayi. Walau bagaimanapun, hati bayi belum sepenuhnya matang lalu menyebabkan ia tidak berupaya untuk memproses dan membuang biliburin dengan segera pada hari pertama kelahiran bayi. Atas sebab ini jugalah, jaundis biasanya berkembang pada tempoh ini.

PANDUAN MENGELAK DAN MERAWAT JAUNDIS

1) Susukan bayi sejurus selepas lahir dan sekerap yang boleh. Harus diingat! kolostrum bertindak sebagai laksatif dan kekerapan pembuangan najis akan mengurangkan paras biliburin. Pada masa yang sama pantau pembuangan air kencing dan najis bayi. Untuk lebih memahaminya, anda perlu mendapatkan maklumat tentang panduan mengetahui sama ada bayi mendapat susu yang cukup ataupun tidak.

2) Elakkan memberi bayi air! Perlu diingatkan hanya 2% biliburin dibuang melalui air kencing manakala selebihnya menerusi najis. Jika bayi diberi air, ia hanya akan memenuhkan perut bayi yang secara langsung menyebabkan dia kurang menyusu susu ibu.

3) Galakkan bayi untuk kekal berjaga dan menyusu setiap dua jam. Ini kerana jaundis akan menyebabkan bayi mudah mengantuk terutamanya jika dia menjalani rawatan terapi foto.

4) Jika bayi kerap lena ketika menyusu terus daripada payu dara dan membuang najis kurang daripada tiga kali dalam tempoh 24 jam, anda perlu mengepam payu dara setiap kali selepas sesi penyusuan dan beri dia susu perahan menggunakan sudu, picagari, cawan atau tiub penyusuan jika ada. Memandangkan bayi kerap mengantuk dan jarang menyusu sepanjang paras bilirubinnya meningkat, penggunaan pam dapat memberi ransangan tambahan bagi memastikan bekalan susu mencukupi.

5) Dedahkan bayi kepada sinaran matahari kerana ia membantu bayi memecahkan bilirubin di bawah kulitnya. Bogelkan (hanya memakai lampin) dan dedahkan dia di kawasan terlindung tetapi banyak cahaya matahari seperti anjung di luar rumah.

6) Anda perlu mengelakkan diri daripada mengambil ubat-ubatan seperti aspirin dan dadah sulfa. Pastikan doktor yang merawat bayi tahu jenis ubat yang anda ambil. Anda mungkin boleh berhenti mengambilnya atau mendapatkan ubat alternatif lain yang mungkin tidak memburukkan lagi keadaan jaundis bayi.